Apa yang kamu harapkan?

Ya Allah, aku cukup dengan apa yang Kau berikan kepadaku...

Cuba perhatikan sekeliling.
Manusia tidak pernah bersyukur dengan apa yang dimilikinya.


"Awak senanglah, kerja bagus. Sure gaji pun banyak. Saya ini kerja kerani saja. Gaji sikit, kerja banyak," keluh seorang rakanku semasa kami berbual di sebuah kedai mamak.
Pekerja mamak datang menghantar dua gelas minuman yang kami pesan.
Selepas mengucapkan terima kasih, pekerja itu berlalu sambil tersenyum dan mengangkat tangan sebagai tanda hormat.
"Kenapa dia senyum beria pada awak? Kenalkah?" soal rakanku.
"Kenal," balasku.
"Dia baru datang dari Bangladesh. Dah 6 bulan kerja. Tinggalkan anak dan isteri di sana. Balik cuma setahun sekali. Saya pernah terjumpa dia di Giant. Dia cuma beli sekotak maggi, sebungkus bawang dan telur 30 biji. Untuk stok makan sebulan katanya." balasku membuatkan rakanku terdiam.

Kita sudah ada kerja dan pendapatan sendiri. Tahukah di luar sana, ramai lagi yang menganggur dan ada juga sebahagian yang terpaksa berkorban merantau ke tempat orang demi mencari sesuap nasi.

*****

"Saya rasa macam nak minta putus sahaja daripada pakwe saya. Sudahlah bergaji kecil, muka tak hensem pula tu. Macam mana boleh ter'couple' dengan dia pun saya tidak pasti," keluh seorang gadis.
Sekurang-kurangnya masih ada yang mahu kepadamu. Tahukah engkau di luar sana ramai lagi orang yang masih mengharap mempunyai seseorang yang manyayangi mereka. Mungkin kerana kekurangan mereka, mereka sering ditinggalkan ataupun tidak mendapat teman.

******

"Suami saya tu pemalas. Bukannya hendak tolong jaga anak kalau ada di rumah. Lepas tu asyik dengar cakap mak dia sahaja. Belanja rumah pun kadang-kadang saya yang kena tanggung," rungut seorang isteri.
Tahukah kamu wahai isteri, hal sekecil bawang tiada di rumah pun sebenarnya tidak boleh didedahkan. Itu boleh mendatangkan aib kepada suami.
Tahukah kamu masih ramai yang membujang, kerana tidak bertemu jodoh. Betapa bersungguh mereka berdoa agar diberi gelaran itu kepada mereka?


******

"Susah anak ramai-ramai ni. Belanja besar. Macam-macam hal, rasa dah malas nak beranak lagi. Saya nak berjalan ke mana-mana pun susah," rungut seorang ibu. Keadaan dirinya yang tidak terurus menunjukkan betapa serabutnya dia.
Anak itu anugerah Allah. Setiap anak sudah diperuntukan rezekinya.
Bersyukurlah sekiranya kamu mempunyai anak, andainya kamu sudah tiada, doa anak itulah penyambung pahala kamu.
Sedangkan di luar sana, masih ramai lagi pasangan yang mengharapkan kehadiran cahayamata dalam hidup mereka.

******

"Mak aku ini asyik telefon suruh balik kampung. Bukannya dekat. Letihlah nak balik kampung selalu." keluh seorang lelaki kepada temannya.
Sayangilah mereka semasa mereka masih ada dengan kita. Kerana rasa kehilangan dan terkilan itu terlalu pahit.
Tahukah kalian, berapa ramai anak-anak yatim yang merindui ibu bapa mereka yang sudah tiada. Betapa mereka mengharap membesar dan mahu merasi kasih-sayang daripada ibu dan bapa.
******

"Kau cantik bolehlah. Aku ni tak secantik kau."
Sekurang-kurangnya kita masih sempurna fizikal, sedangkan ada insan lain yang terpaksa hidup dengan kekurangan diri mereka sejak dilahirkan lagi.


Jadi, mengapa kalian tidak bersyukur?
Allah menjadikan tiap sesuatu itu ada penyebabnya.
Mungkin ia ujian untuk kita. Tentu ada hikmahnya.
Andai ditakdirkan kita tidak beroleh kebahagiaan di dunia,
berdoalah... semoga Allah beri kebahagiaan di sana.

0 comments: