Saya sayang dia...


Sebelum jemari ini menari, air mataku sudah tertumpah berkali-kali.

Biarpun sekadar mengenangnya tanpa aku perlu melihat wajahnya....
Manusia yang paling kusayangi....

Sudah lama benar aku tidak ke sini
Entah kenapa malam ini aku ke mari...
Demi sebuah catatan untuknya...

Kita tidak tahu berapa lama lagi hayat yang kita ada,
Andainya aku ditakdirkan pergi dahulu sebelumnya,
Akulah manusia yang paling beruntung.
Kerana aku tahu doanya masih ada untukku selagi hayatnya dikandung badan.
Kerana aku pergi dengan kemaafan daripadanya.

Siapa aku hari ini?
Dialah yang mencoraknya...
Andai orang katakan aku baik... dialah yang berhak mendapat pujian itu.
Dia yang mendidik dan menanamkan segala sifat yang baik dalam diriku.

Aku sentiasa ingat akan pesanannya...
"Ingatlah siapa yang berada di sisimu waktu susahmu. Jangan pernah dilupakan jasa mereka. Jangan pula menyombong dengan mereka apabila kau sudah menjadi seseorang kelak."
Itu yang ditanam dalam hatiku.
Sejak ayahku pergi, aku mula memerhatikan dengan jelas segala perubahan. Betapa banyak bezanya apabila ayahku sudah tiada.
Memang benar, apabila kita susah ramai yang mula menjauhkan diri.
Tetapi ada segelintir yang masih punya hati dan sudi membantu....
Wajah-wajah itu kurakam jelas dengan tekad di hati.
Wajah-wajah ini tidak akan kulupakan. Budi mereka akan tetap kukenang dan moga suatu hari nanti aku dapat membalas segala kebaikan mereka. Untuk sementara, memadailah aku mendoakan kesejahteraan buat mereka.

Maka bermulalah perjalanan hidupku, orang yang bersamaku ketika aku susah dan waktu aku paling memerlukan. Itulah wajah yang kurakam jelas dan terpahat dalam album hatiku.
Walaupun ada sebahagiannya melukakan hatiku, namun janji tetap janji.
Aku tetap akan berada disisi mereka sewaktu mereka paling memerlukan kehadiranku.

"Biarlah orang buat kita, jangan kita buat pada orang."
Pesanan itu juga kutanam dalam hatiku.
Itu bukanlah sekadar pesanan. Tetapi aku melihat contoh itu dalam dirinya.
Betapa ramai yang menyakitinya, mengkhianatinya.
Aku melihat kesakitannya, kesedihannya dan ketabahannya mengharungi segalanya.
Namun dia tidak pernah mengajar kami supaya membenci mereka yang pernah menyakitinya.
Dan sehingga hari ini, andai mereka hadir meminta pertolongannya, dia masih sudi membantu seolah-olah segala luka itu tidak pernah terjadi.
Kerana itu, biarpun aku punya ramai kawan yang menjadi kacang lupakan kulit, mengkhianatiku, menikam aku dari belakang. Namun aku tidak pernah terfikir untuk membalasnya. Dan andainya suatu hari ditakdirkan mereka hadir meminta pertolongan, akan cuba kubantu semampuku.

Sejak ayahku pergi, aku berjanji pada diriku sendiri.
Aku akan cuba membahagiakan keluargaku. Berkorban segalanya untuk kegembiraan mereka. Saban hari doaku tidak pernah putus biarpun apa saja layanan yang kuterima. Itu janjiku dan moga ianya kekal hingga ke hujung nafasku.

Kata ibuku , kita hanya akan mengerti betapa dalamnya kasih seorang ibu apabila kita sudah menjadi ibu. Ya, mungkin aku belum lagi melahirkan zuriatku sendiri tapi aku rasa aku sudah mengerti bagaimana kasihnya seorang ibu. Semoga Allah mengasihani ibuku seperti mana dia menyangiku sewaktu kecilku.

Ya Allah, ampuni segala dosa ibu bapa ku. Ampuni dosaku. Ampuni dosa semua orang yang aku sayangi. Berilah kami rezeki yang baik. Berikan kebahagiaan dan kesihatan yang baik. Lindungi mereka daripada sebarang bahaya dan kecelakaan. Matikan kami dalam iman dan tempatkan kami ke dalam syurgaMu. Amin...

Mungkin kita hanya akan tahu siapa yang benar-benar menyayangi kita apabila kita sudah tiada kerana mereka tidak akan pernah putus memanjatkan doa untuk kita - aurabutterfly



Khas untuk Fatin Nadiah

Fatin,

Saat ini kau keseorangan...
Tanpa ibu bapa dan adik-beradik menemanimu,
Apatah lagi sahabat-sahabatmu,
Hanya ditemani liang lahat yang gelap dan tanah yang sejuk.

Hatiku sangat terkesan
dengan pemergian orang yang sudah kuanggap sebagai adik...
Perginya secara tiba-tiba...
Saat umurnya yang baru menginjak 21 tahun....

Sepanjang aku mengenalinya,
Dia seorang yang selalu ceria,
peramah dan jenis happy go lucky...
Dia membesar di hadapan mata,
Bertahun-tahun juga aku mengajar dia semasa dia masih bersekolah dahulu...
Masih segar di ingatanku, kami menelangkup bersama-sama di dalam biliknya.
Dan hubungan itu bertambah rapat dari hari ke hari....

Malam tadi aku menerima mesej, Fatin kritikal di Hospital Klang
akibat dilanggar oleh seorang India yang mabuk...
Mengakibatkan dia cedera teruk di wajah sebelah kanan
Khabarnya hingga tenggelam ke dalam,
Selepas bertarung nyawa seketika, akhirnya dia tewas....

Tepat sebelum azan zuhur jenazah Fatin dikebumikan,
Bacaan talkin akhirnya diiringi dengan alunan azan.
Meskipun matahari tepat di atas kepala, yang anehnya suasana tidak pun panas.
Malahan redup sahaja seolah-olah alam turut menangisi pemergiannya.

Kupeluk dan ku kucup pipi ibunya.
Kehilangan satu-satunya anak perempuan tunggal dalam keluarga pastinya terlalu berat untuknya.
"Anak didik awak dah pergi...." kata-kata itu tertusuk di kalbuku.
Kemudian dengan gagah dia mententeramkan sekalian yang bersalaman dengannya,
"Redhakan pemergian arwah, ampunkan segala dosanya dan doakan untuknya."
Itulah kata-kata yang terucap berulang-ulang kali.

Walaupun wajahnya tenang,
Aku tahu air matanya mengalir ke dalam.
Tangisan dan kesedihan seorang ibu yang menguruskan pengkebumian anaknya sendiri.
Tangisan dalam hati itu lebih perit daripada tangisan di mata.
Terlalu awal Fatin pergi,
Masih banyak lagi yang belum dinikmati...
Masih banyak lagi yang belum disyukuri...

Dia lebih muda...
Tetapi dia yang pergi dahulu....
Bila pula giliran kita....
Tapi yang paling penting adakah kita sudah bersedia?

Berdiri di tanah kubur itu,
Aku membayangkan bagaimana rasanya jika aku menziarahi pengkebumianku nanti...
Selepas talkin selesai dibaca, doa sudah diaminkan,
lantas semuanya bersalaman dan berlalu pergi...
Yang tinggal untuk sementara, cumalah ahli keluarga terdekat,
iaitu orang yang benar-benar sayangkanku dengan sepenuh hati...
dan bila sampai masanya, mereka juga akan berlalu dari situ.
Tinggallah ranting pohon kemboja yang tercacak di atas timbunan tanah merah,
menanti sang malaikat datang bersama soalan dan hukuman...

Lamunanku terhenti,
mengesat air mata dan hingus yang mengalir,
andainya nyawaku dicabut waktu ini,
aku masih belum bersedia....
Aku masih berdosa...
Amalku masih berongga...

Tuhan masih beri peluang...
Entah peluang keberapa sebenarnya....
Terpulang kepada kita
bagi memilih jalan seterusnya...

Ya Allah,
bukakanlah pintu hati kami,
ampunilah segala dosa kami,
tetapkan iman kami,
akhirkan perjalanan kami di dunia dengan keadaan kami mampu mengucap kalimahMu.
Amin.


Hargai segala yang kamu ada sebelum kamu kehilangannya ~ aurabutterfly

Tanya hati....

P.E.N.G.O.R.B.A.N.A.N
Cuma sepatah perkataan yang mengandungi 11 huruf.
Namun pengertiannya sebenarnya terlalu besar dan luas.

Walaupun cuma sepatah, bukan mudah untuk melakukannya.
Hanya mereka yang benar-benar kuat sahaja yang mampu...

Untuk melakukannya, kita memerlukan tekad yang kuat, hati yang lembut, dan selalunya diiringi dengan dorongan yang kuat ataupun demi seseorang yang begitu penting dalam hidup kita.

Apabila berkorban, percayalah ianya menjanjikan rasa sakit. Mungkin kerana itu ia dipanggil pengorbanan. Umpama luka yang tidak nampak darahnya. Hanya kita yang merasa kesakitannya dan menyembunyikan keperitan itu di sebalik senyuman. Biasanya pengorbanan itu tidak disedari... dan apabila ianya tidak dihargai maka luka itu akan semakin parah.

Terpulanglah apa pun niat kita...
Selalunya kita akan berkorban untuk orang yang kita sayang...
Kerana kasih sayang kita kepadanya membuatkan kita rela hati dan diri kita dilukai.
Deminya, kita sanggup menangis semata-mata mahu melihat senyuman di wajahnya.

Pernahkah kita bertanya dalam hati kita, atas kejayaan dan kebahagiaan yang kita kecapi sekarang, siapakah yang sudah banyak berkorban?
Adakah apa yang kita lakukan sekarang sudah cukup untuk membayar segala pengorbanannya kepada kita selama ini?
Kerana mungkin juga tanpa sedar, kita lebih banyak melukai hati orang yang banyak berkorban kepada kita.

Hari ini kita rasa bahagia. Hari ini kita rasa hebat. Hari ini kita rasa kita sudah berjaya.
Setiap kejayaan diiringi dengan tangisan sebenarnya... Demi kebahagiaan yang kita kecapi sekarang, sebenarnya ianya hasil daripada tangisan dan kesakitan seseorang yang terlalu menyayangi kita.

Beranikah kita bertanya dalam hati hari ini...
Ya Allah, andai Kau tarik kenikmatan yang ada padaku hari ini... andai aku sudah tidak berguna lagi, siapakah yang akan berada di sisiku?

Hanya hatimu tahu jawapannya... hatimu tidak akan menipu...
kerana... mereka itulah yang selama ini berkorban untuk dirimu...

Jangan pernah katakan sayang selagi kamu lebih rela melihat orang yang kamu sayang menangis demi senyumanmu. ~ aurabutterfly