Saya sayang dia...


Sebelum jemari ini menari, air mataku sudah tertumpah berkali-kali.

Biarpun sekadar mengenangnya tanpa aku perlu melihat wajahnya....
Manusia yang paling kusayangi....

Sudah lama benar aku tidak ke sini
Entah kenapa malam ini aku ke mari...
Demi sebuah catatan untuknya...

Kita tidak tahu berapa lama lagi hayat yang kita ada,
Andainya aku ditakdirkan pergi dahulu sebelumnya,
Akulah manusia yang paling beruntung.
Kerana aku tahu doanya masih ada untukku selagi hayatnya dikandung badan.
Kerana aku pergi dengan kemaafan daripadanya.

Siapa aku hari ini?
Dialah yang mencoraknya...
Andai orang katakan aku baik... dialah yang berhak mendapat pujian itu.
Dia yang mendidik dan menanamkan segala sifat yang baik dalam diriku.

Aku sentiasa ingat akan pesanannya...
"Ingatlah siapa yang berada di sisimu waktu susahmu. Jangan pernah dilupakan jasa mereka. Jangan pula menyombong dengan mereka apabila kau sudah menjadi seseorang kelak."
Itu yang ditanam dalam hatiku.
Sejak ayahku pergi, aku mula memerhatikan dengan jelas segala perubahan. Betapa banyak bezanya apabila ayahku sudah tiada.
Memang benar, apabila kita susah ramai yang mula menjauhkan diri.
Tetapi ada segelintir yang masih punya hati dan sudi membantu....
Wajah-wajah itu kurakam jelas dengan tekad di hati.
Wajah-wajah ini tidak akan kulupakan. Budi mereka akan tetap kukenang dan moga suatu hari nanti aku dapat membalas segala kebaikan mereka. Untuk sementara, memadailah aku mendoakan kesejahteraan buat mereka.

Maka bermulalah perjalanan hidupku, orang yang bersamaku ketika aku susah dan waktu aku paling memerlukan. Itulah wajah yang kurakam jelas dan terpahat dalam album hatiku.
Walaupun ada sebahagiannya melukakan hatiku, namun janji tetap janji.
Aku tetap akan berada disisi mereka sewaktu mereka paling memerlukan kehadiranku.

"Biarlah orang buat kita, jangan kita buat pada orang."
Pesanan itu juga kutanam dalam hatiku.
Itu bukanlah sekadar pesanan. Tetapi aku melihat contoh itu dalam dirinya.
Betapa ramai yang menyakitinya, mengkhianatinya.
Aku melihat kesakitannya, kesedihannya dan ketabahannya mengharungi segalanya.
Namun dia tidak pernah mengajar kami supaya membenci mereka yang pernah menyakitinya.
Dan sehingga hari ini, andai mereka hadir meminta pertolongannya, dia masih sudi membantu seolah-olah segala luka itu tidak pernah terjadi.
Kerana itu, biarpun aku punya ramai kawan yang menjadi kacang lupakan kulit, mengkhianatiku, menikam aku dari belakang. Namun aku tidak pernah terfikir untuk membalasnya. Dan andainya suatu hari ditakdirkan mereka hadir meminta pertolongan, akan cuba kubantu semampuku.

Sejak ayahku pergi, aku berjanji pada diriku sendiri.
Aku akan cuba membahagiakan keluargaku. Berkorban segalanya untuk kegembiraan mereka. Saban hari doaku tidak pernah putus biarpun apa saja layanan yang kuterima. Itu janjiku dan moga ianya kekal hingga ke hujung nafasku.

Kata ibuku , kita hanya akan mengerti betapa dalamnya kasih seorang ibu apabila kita sudah menjadi ibu. Ya, mungkin aku belum lagi melahirkan zuriatku sendiri tapi aku rasa aku sudah mengerti bagaimana kasihnya seorang ibu. Semoga Allah mengasihani ibuku seperti mana dia menyangiku sewaktu kecilku.

Ya Allah, ampuni segala dosa ibu bapa ku. Ampuni dosaku. Ampuni dosa semua orang yang aku sayangi. Berilah kami rezeki yang baik. Berikan kebahagiaan dan kesihatan yang baik. Lindungi mereka daripada sebarang bahaya dan kecelakaan. Matikan kami dalam iman dan tempatkan kami ke dalam syurgaMu. Amin...

Mungkin kita hanya akan tahu siapa yang benar-benar menyayangi kita apabila kita sudah tiada kerana mereka tidak akan pernah putus memanjatkan doa untuk kita - aurabutterfly



0 comments: